masakan si Isteri

masakan si Isteri

Monday, 1 September 2014

Laksa Johor

Aidilfitri 2014, Mrs Jay menuntut ilmu membuat laksa johor dari Tok Wan di Mersing. Kebetulan ofismate Mrs Jay kata teringin nak makan laksa johor, Mrs Jay buat keputusan untuk masakkan laksa johor, khas untuk mereka.

Aktiviti mencari bahan-bahan ramuan untuk kuah laksa johor, En.Hubby ajak Mrs Jay ke Pasar Borong Selangor. En.Hubby ni pun kira peminat tegar laksa johor, sebab tu dia yang lebih excited sampai ajak ke pasar borong, padahal kat pasar biasa pun boleh je cari bahan-bahan tu. Katanya, nak cari ikan dan sayur segar. Boleh la...ikutkan je.

Laksa johor dimakan dengan speghetti, bukan mee kuning. Jadi sila beli speghetti siap-siap sebelum memasak. Bahan-bahan yang diperlukan untuk kuah adalah:
- 1kg ikan selayang (kat sini org kata ikan ni sama dengan ikan sardin)
- 1kg santan segar
- 3 biji bawang besar
- 6 ulas bawang putih
- 6 batang serai
- 3 inci lengkuas
- 3 inci halia
- serbuk kari ikan (secukupnya)
- udang kering
- ikan kurau masin
- belacan (optional, saje je menambah rasa udang kering. Tak letak pun xpe)
- 2 ketul kiub ikan bilis
- 200g kerisik
- daun kesum (optional)
- bunga kantan (optional)

Macam yang Mrs Jay selalu cakap, kuantiti bahan-bahan boleh diubah ikut kesesuaian. Contoh, kalau serai kurus sangat, boleh guna 9 batang. Kalau tak suka belacan, jangan masukkan lak. Ada juga yang suka masukkan udang segar dalam kuah untuk naikkan rasa manis udang, tapi Mrs Jay tak letak sebab kuah ni pun dah cukup sedap.

Mula-mula, rebus ikan selayang sampai cukup masak (jangan lupa siang ikan tu dulu). Toskan ikan, tapi jangan buang air rebusan ikan tu.
Lepas ikan dah lembut, sejukkan kejap, baru leraikan isi dengan tulangnya. Kisarkan tulang ikan dahulu (bersama kepala sekali) dengan menggunakan air rebusan ikan tadi. Setelah hancur, baru kisarkan isinya pula. Jangan lupa, bahan-bahan seperti bawang, bawang putih, halia, lengkuas, serai, udang kering dan ikan kurau masin juga perlu dikisar. Pastikan untuk tidak kisar semua bahan sekali harung, kang tak pasal-pasal rosak blander tu nanti.

Cara Mrs Jay masak laksa johor mungkin lain sikit dari yang lain. Mrs Jay masakkan dulu santan sampai cukup masak, baru masukkan bahan kisar (bawang, serai...bla bla bla). Kalau ikut Tok Wan, bahan kisar tu digaulkan dengan serbuk kari dulu sebelum dimasukkan dalam santan. Mrs Jay masuk je terus dalam periuk, baru masuk serbuk kari ikan tadi. Bagi yang suka rasa rempah, boleh juga masukkan biji ketumbar, jintan putih dan jintan manis yang dikisar kering. Yang tu pun optional juga...
santan dimasak bagi kuah tahan lebih lama
Kemudian, masukkan ikan selayang yang telah dikisar. Jangan lupa masukkan kerisik sekali. Agak-agak dah menggelegak, masukkan pula kiub ikan bilis sebagai penambah perasa. Sesuaikan rasa masin kuah. Mrs Jay tak tambah garam sebab dah cukup masin. Kalau kuah tuan puan tak cukup masin, tambahlah garam sendiri ye... Sebagai tambahan, boleh masukkan daun kesum dan bunga kantan.

Ok, kuah dah siap. Mari tengok apa bahan-bahan untuk condiments laksa johor ni:
- 2 biji timun
- kacang panjang
- daun kesum
- daun selasih
- lobak asin
- taugeh
- limau kasturi
daun selasih (kiri) dan daun kesum (kanan)
timun ye, bukan bawang
Untuk condiments ni senang je, semua potong-potong je. Daun kesum dan daun selasih racik-racik, kacang panjang potong nipis, taugeh buang hitamnya, lobak asin beli yang dah siap potong, limau kasturi potong dua, timun pula.....special laksa johor, kena buang kulit, potong empat bahagian, kemudian potong dari tepi hingga jadi bentuk macam dalam gambar kat atas tu. Ramai orang ingat tu bawang, tapi sebenarnya timun....hihihi.

Sebelum terlupa, sila rebus sepeket speghetti kedalam air yang ditambah sedikit minyak. Bila dah masak, toskan sebelum dihidang. Ok, siap sudah laksa johor kita. Sebagai pelengkap, buat lah sambal belacan:
- 10 batang cili merah (besar)
- 3 inci belacan (adjust kuantiti ikut kesesuaian)
- 3 biji limau kasturi
- gula
- garam

Caranya mudah je, bakar belacan tanpa minyak. Bila dah sejuk, tumbuk atau kisar bersama cili yang dah dibuang biji, perahan limau kasturi, garam dan gula. Sedia untuk dihidang. Mrs Jay bawak ke pejabat pagi tu, Alhamdulillah....laris.

2 comments: